Tudung. Tudung. Tudung.
Ya, bermacam-macam rupa yang boleh kita lihat sekarang kerana semuanya mahu mengikut peredaran fesyen semasa.Ada yang belitnya dari kiri ke kanan, ke atas ke bawah, disilangnya
ke sana, ke mari. Cantik! Namun kebanyakannya tidak mengikut syariat.
Saya dahulu salah seorang dari yang gemarkan fesyen-fesyen
lilit-lilit pusing-pusing itu semua. Perempuan mana yang tak mahu
kelihatan cantik menarik !
Tambah lagi bila pengalaman hidup yang saya lalui, berhadapan dengan
orang tudung labuh yang berperangai sama macam yang bertudung tak
mengikut syariat. Ada yang lebih teruk! Jadi? Kesimpulan awal saya ialah
"Ahhh sama je orang tudung biasa dengan tudung labuh. Baik pakai macam
biasa, macam kebanyakan orang lain pakai. Nanti bertudung labuh, tak
boleh nak gila-gila!"
Namun jauh di sudut hati, ada satu rasa yang bergetar – ada sesuatu yang menarik tentang tudung labuh.
Allah sayang saya. Amat sayang.
Hampir setiap hari dalam hidup, Allah temukan saya dengan
artikel-artikel tentang erti sebenar tudung. Saya mula perlahan-lahan,
dari tudung yang berbagai fesyen itu, saya tutupkan dada. Masih dengan
tudung biasa! Dalam hati, "OK, cukup dah ni". Namun masih sentiasa
bermohon pada Allah supaya dilimpahi hidayahNya.
Allah masing sayang saya, terlalu sayang.
Allah bukakan mata saya, untuk melihat betapa indahnya, betapa
selamatnya bertudung labuh. Allah kenalkan saya dengan insan-insan
bertudung labuh, yang masih lagi gila-gila, namun terbatas pergaulan
mereka, yang terjaga tatasusila.
Saya seorang yang cerewet, tidak suka pada telekung-telekung di mall
yang berbau, berdaki. Allah tunjuk pada saya, bila bertudung labuh,
lebih mudah, lebih selesa untuk saya solat, kerana aurat saya sudah
terjaga! Tak perlu lagi telekung – telekung berbau berdaki tu semua.
Saya seorang yang akan hilang rasa hormat pada lelaki-lelaki yang
bersiul-siul pada perempuan di tepi-tepi jalan, yang lalu di hadapan
mereka. Sangat tak hormat! Tapi Allah tunjuk pada saya, bila bertudung
labuh, lelaki-lelaki itu tak berani buat begitu.
Saya nekad. Dengan hanya dua helai tudung berbidang 60" yang mampu
saya beli, saya sarungkan. Terasa betapa Allah sayang saya. Saya rasa
sangat selamat dalam dakapan tudung labuh, yang satu masa dulu saya
pandang hanya sebelah mata.
Saya sekarang bertudung labuh, tapi masih gila-gila! Bertudung labuh
bukan bererti saya alim. Saya juga masih tercari-cari cahaya. Tapi
tudung labuh itu membantu saya, dalam gila-gila, saya ingat untuk
menjaga batas-batas, tatasusila. Yang mendekatkan saya pada cahaya,
bukan gelita. Saya malu untuk buat perkara sia-sia, malu jika saya
dipandang manusia lain sepertimana saya memandang perempuan bertudung
labuh yang "perangai tak serupa tudung" suatu masa dulu.
Tudung labuh itu bukan tanda seseorang itu alim, tapi itu
pelindungnya dari perkara-perkara yang tidak baik. Moga dari kerana
tudung, hati saya juga terjaga, akhlak saya dipelihara, akidah saya
makin teguh padaNya.
Moga saya istiqamah! Moga akhlak saya seindah tudung saya! Amin Ya Rabb!

1 comments:
Subhanallah saya juga dah lama menyimpan hasrat ingin bertudung labuh doakan saya juga :)
salam ukhuwah dr texas :)
Post a Comment