Umat mengaku beriman perlu bersabar atasi cabaran ditentukan dalam kehidupan.
CINTA adalah penawar. Barang siapa yang hatinya kosong tanpa cinta, nescaya pelbagai penyakit akan bersarang di dalamnya. Cinta adalah kehidupan, kerana hidup seseorang anak manusia bermula daripadanya.
Manusia
memerlukan cinta untuk tetap bertahan. Manakala, jiwa yang kekeringan
cinta bagaikan tercabut roh daripada jasadnya. Berjalan tanpa perasaan,
berfikir tanpa keindahan, bosan dan hampa.
Dijadikan indah pada
pandangan manusia rasa cinta yang boleh memuaskan nafsu dan syahwatnya.
Cinta adalah fitrah yang dibekalkan untuk manusia. Cinta perlu diatur
dengan baik, bukan dibiarkan mengganas hingga menyebabkan lupa kepada
hakikat kehidupan.
Apakah ubat bagi orang yang tertekan, putus
asa dan rasa dirinya tidak berguna? Jika kita tersungkur angkara
musibah, siapakah yang patut dicari?
Di manakah ketenangan
diperoleh? Manusia amat memerlukan Penciptanya Yang Maha Mengetahui
selok-belok dirinya. Jika dia sakit, ubatnya ada pada Allah Taala, yang
dapat menurunkan setitis rahmat di hati yang tenat.
Mengapa hati rasa sempit, dada rasa sesak, segenap jasad tak mampu menahan beban berat jika rahmat Allah Taala itu lenyap?
Betapa
berharganya nilai setitis rahmat. Keamanan dan kedamaian menjelma di
serata dunia. Bagaimanakah dalaman rumah kita? Apakah rahmat Allah turun
ke atasnya? Rahmat yang mencelupkan dua jiwa suami dan isteri pasti
akan melahirkan anak yang salih. Rahmat yang hidup di hati seorang ayah
akan menjadikannya mampu mendidik ahli keluarga dengan iman. Rahmat yang
menitis di jiwa seorang ibu akan menjadikannya rela mengorbankan jiwa
raganya untuk kebahagiaan keluarga. Akhirnya kita semua perlu menyedari
bahawa kebencian dan suasana huru-hara yang berlaku berpunca daripada
jiwa orang yang kekeringan rahmat Allah Taala.
Mungkinkah kita
mendapat rahmat Allah jika kita tidak berusaha mengenal-Nya? Tak kenal
maka tak cinta. Suatu ungkapan yang mudah untuk difahami. Namun, amat
berat diamalkan. Mengenali Allah sebagai Penguasa ke atas diri kita.
Yang menggenggam ubun-ubun makhluk-Nya dengan mudah dan akan
menyentapnya apabila Dia berkehendak. Mengenal Allah dengan hati dan
akal. Meneliti dan mencari penyebab kenapa Dia Yang Maha Pencinta layak
untuk dicintai?
Allah Taala yang mengatur hidup kita, melimpahi
hari yang kita lalui dengan nikmat-Nya. Semuanya itu tidak mampu
disenaraikan kerana terlalu berharga. Tidak sesiapapun mampu membeli
kebahagiaan jika Allah tidak mahu mengurniakan untuknya. Bagaimana
hendak membayar nikmat kesihatan jika Allah tidak sudi menyembuhkan?
Mungkinkah cita-cita dan impian akan tergenggam apabila Dia Yang Maha
Mencipta berkehendak lain daripada apa yang kita inginkan. Diri kita tak
penting bagi-Nya, ada dan tiadanya kita tidak mengurangi kebesaran-Nya.
Dialah Allah yang kita kenali melalui bekas-bekas nikmat-Nya yang ada
pada diri kita.
Perkenalan ini membuahkan cinta yang amat
mendalam dan begitu hebat menguasai hati kita, seperti firman-Nya
bermaksud: “Dan di antara manusia ada yang mengambil tandingan-tandingan
selain Allah, mereka mencintai tandingan-tandingan Allah itu seperti
mereka mencintai Allah, sedangkan orang yang beriman amat sangat kuat
cintanya kepada Allah.” (Surah Al-Baqarah, ayat 165)
Jika cinta
sudah dimiliki, sudah semestinya dia sanggup diuji. Dengan hati dan
akal, kita belajar mengatasi ujian cinta Ilahi. Ia menjadi ketentuan
yang wajib dijalani bagi hamba-Nya yang mengaku beriman, kerana mungkin
cintanya itu sekadar berpura-pura.
Semakin berat ujian yang
diterima maka semakin tinggi tahap kecintaannya kepada Allah. Sabda
Baginda SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah Taala apabila mencintai
hamba-Nya maka Dia mengujinya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Ibnu
Al-Qayyim mengatakan: “Tidaklah sekali-kali Allah Taala menguji
hamba-Nya dengan godaan hawa nafsu dan kederhakaan, tiada lain ia
bertujuan mengarahkannya supaya berjuang dan melawan, sehingga
perjuangannya itu akan melahirkan cinta kepada Allah.”
Maka
terjawablah persoalan kedudukan manusia yang mencintai Allah lebih hebat
daripada kedudukan malaikat. Malaikat Allah tidak diuji seperti manusia
diuji dalam membuktikan cintanya kepada Allah Taala.
Cinta
kepada Allah Taala juga boleh dicari dalam ikatan ukhuwah sesama
manusia. Seperti firman Allah Taala bermaksud: “Wahai orang-orang yang
beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya maka
kelak Allah Taala akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai
mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap
orang mukmin.” (Surah Al-Maidah, ayat 54)
Rasulullah SAW juga
menyeru umatnya untuk saling mencintai dalam sabdanya bermaksud:
“Tidaklah sekali-kali dua orang lelaki saling mencintai kerana Allah,
melainkan orang yang paling dicintai Allah itu adalah yang paling kuat
kecintaannya kepada saudaranya.” (Hadis riwayat al-Tabrani)
Sabda
Baginda lagi bermaksud: “Tidak beriman seseorang di antara kamu
sehingga dia mencintai bagi saudaranya apa yang dia cintai bagi dirinya
sendiri.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Antara perkara paling
berharga dalam kehidupan ini adalah persahabatan yang ikhlas. Ia tidak
mudah untuk dimiliki melainkan oleh mereka yang ikhlas mahu
mewujudkannya. Jika Allah mencantumkan hati manusia tiada siapa boleh
menghalangi mereka mengecapi nikmat persahabatan itu.
Antara
akhlak persahabatan yang paling rendah ialah sedia memaafkan saudara
kita, manakala yang tertinggi pula, menolong sepenuh hati jika dia
memerlukan kita untuk berada di sisinya. Sahabat yang terbaik adalah
mereka yang bersungguh-sungguh mengajak kita mengecapi kasih sayang
hingga ke akhirat. Sahabat di dunia dan akhirat menjadi slogan yang
indah dan tak terlupa. Hanya dengan ikatan itu kita mampu mengecapi
rahmat Allah bersama saudara seiman.








0 comments:
Post a Comment