Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya
memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8
kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu
untuk dijadikan renungan anda sekalian.
Cerita ini bermula
ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam
sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering
kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan
berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang masih
kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk
yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering
membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke
mangkuk saya, ibu berkata : ""Makanlah nak ibu tak lapar." – PEMBOHONGAN
IBU YANG PERTAMA..
Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering
meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali air
berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat
memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang
dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera.
Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan
memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas
sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu..
Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan
itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata :
"Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan." – PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.
Di
usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai
dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara
persekolahan saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul
1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan
beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat
kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : "Ibu, tidurlah,
esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata :
"Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi." – PEMBOHONGAN IBU YANG
KETIGA.
Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja
supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan
penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari,
ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja
tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya
lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi
menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan
menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi
yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang
jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera
memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu
cepat-cepat menolaknya dan berkata : "Minumlah nak, ibu tak haus!!" –
PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.
Setelah pemergian ayah kerana
sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang
mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja
mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar
kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan
keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang
semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan
kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu.
Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada
seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami
sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat
mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan cinta dan saya tidak perlukan
lelaki." – PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.
Setelah kakak dan abang
habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang
menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi
bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak
mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk
memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota
besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun
begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan
ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : "Jangan susah-susah, ibu
ada duit." – PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.
Setelah tamat pengajian
di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di
luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah
syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya
pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di
luar negara. Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu
untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya,
ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis
dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan
dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak
ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ;
"Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang." – PEMBOHONGAN IBU
YANG KETUJUH.
Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam
saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah
secepat mungkin.. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera
terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta. Saya melihat ibu
terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang
kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu
menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa
menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat
dengan jelas betapa seksanya penyakit itu telah memamah tubuh ibu
sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu
sambil berlinangan air mata.. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup
pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali
melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan
berkata : "Jangan menangis nak, ibu tak sakit." – PEMBOHONGAN IBU YANG
KELAPAN.
Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.
Anda
bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan
menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya
sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya.
Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun
saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah
sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat
ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu…
p/s: Entri ini memang bukan ditulis oleh aku dan tiada kaitan pun dengan aku. Sekadar berkongsi dengan readers sekalian. Sumber rujukan adalah blogger bernama Noraimi Haji Ismail...Sekian...
Tuesday, 13 December 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Break the silence



0 comments:
Post a Comment